fbpx

Fake Braces ?

Posted by dentist3 in Announcements / Dental Clinic News, Dental Articles, Uncategorized | 0 comments

Pendakap gigi atau braces adalah alatan yang dipasang pada gigi dengan tujuan untuk merawat kedudukan gigi yang tidak normal. Rawatan ini di jalankan oleh Pakar Orthodontik ataupun doktor gigi yang bertauliah di klinik pergigian berdaftar dengan menggunakan peralatan yang selamat dan disterilasi.

Sejak kebelakangan ini, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab (vendor fake braces) menawarkan perkhidmatan braces dengan harga yang murah, yang kononnya dapat memperbetulkan kedudukan gigi. Braces yang di pasang oleh mereka yang tidak bertauliah ini di kenali sebagai fake braces. Lazimnya, fake braces ini dipasang bukan di klinik pergigian berdaftar, sebaliknya dipasang di hotel, rumah persendiriran, motel dan premis-premis perniagaan seperti pusat kecantikan.

Apakah perbezaan antara cara pemasangan pendakap gigi oleh Dr Gigi dengan pihak tidak bertauliah?

Pihak yang tidak bertanggungjawab (vendor fake braces) menawarkan perkhidmatan pemasangan fake braces tidak mempunyai kelulusan dari institusi pengajian tinggi di dalam jurusan pergigian dan hanya mempelajari teknik pemasangan alat pendakap gigi di Youtube

Pelbagai teknik yang dilakukan mereka bagi menarik minat orang ramai di laman sosial untuk mendapatkan perkhidmatan mereka. Antaranya dengan mengaburi pemikiran orang awam, kononnya mereka menawarkan “real braces” atau “original braces”. Rawatan braces bukan hanya terletak pada alatan pendakap gigi, tetapi keseluruhanya memerlukan penelitian dari pelbagai aspek termasuk tahap kesihatan pesakit, bentuk muka, struktur rahang, jenis maloklusi, dan masalah pergigian pesakit.

Pesakit mesti mempunyai tahap kebersihan mulut yang baik, tanpa masalah gusi dan kerosakan gigi. Pakar Orthodontik akan melakukan analisa terhadap x-ray dan model kajian gigi pesakit, seterusnya merancang jenis dan cara rawatan yang sewajarnya terhadap pesakit. Pemasangan braces akan dibuat di atas kerusi pergigian menggunakan peralatan yang selamat, biocompatible, bersih dan telah dinyahkuman.

Manakala, rawatan fake braces dilakukan dengan pesakit berbaring di atas katil samada di rumah, hotel atau di pusat kecantikan. Lokasi operasi berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi untuk mengelakkan dari dijejaki oleh pegawai penguatkuasa. Fake braces ini dipasang tanpa mengambil kira tahap kesihatan gigi pesakit. Peralatan yang digunakan pula tidak dinyahkuman. Oleh itu pemasangan fake braces ini akan terdedah kepada risiko penyakit berjangkit seperti Hepatitis B atau HIV

Apakah komplikasi pemakaian fake braces?

Pemakaian fake braces terdedah dengan pelbagai risiko dan komplikasi. Antaranya, gigi akan menjadi goyang, gigi terkeluar dari soket, karies gigi, gusi membengkak, mulut berbau, dan ulcer mulut. Gigi yang tidak teratur boleh menjadi lebih tidak tersusun. Ini adalah kerana tiada pemeriksaan terhadap tahap kesihatan gigi dibuat sebelum pemasangan fake braces dan juga sepanjang pelanggan memakai fake braces. Antara risiko lain yang lebih serius adalah pelanggan fake braces ini terdedah kepada penyakit berjangkit seperti Hepatitis B dan HIV kerana peralatan pemasangan yang digunakan tidak disterilasikan selepas digunakan antara pelanggan

Bagaimanakah gigi bergerak selepas memakai pendakap gigi?

Apabila gigi diberi tekanan pada suatu jangkamasa, ia akan bergerak. Pakar Orthodontik akan menggunakan pengetahuannya untuk menggerakkan gigi kepada kedudukan yang diingini dalam keadaan terkawal. Berat tekanan yang diberikan juga memainkan peranan.

Dalam penggunaan braces, tekanan yang diberikan adalah bergantung kepada kedudukan braket dan jenis wayar yang digunakan. Tekanan yang terlalu tinggi akan membawa kepada kerosakan gigi, gusi dan tulang.

Manakala, vendor fake braces pula tidak memahami dari konteks teori pergerakan gigi. Mana mungkin mereka tahu jumlah tekanan yang bersesuaian dalam menggerakkan gigi. Tekanan tanpa kawalan yang dikenakan pada gigi dengan pemakaian fake braces boleh mengakibatkan gigi menjadi longgar atau terkeluar dari arkus dan soket gigi.

Apa tindakan yang anda boleh ambil sekiranya anda mengesyaki memakai fake braces?

Pemakai fake braces yang telah sedar tentang penipuan ini boleh mendapatkan bantuan di mana-mana klinik pergigian kerajaan atau swasta.

Comments are closed.